Monday, November 15, 2010

HUKUM BERTUNANG DARI SISI AGAMA ISLAM

Posting ini adalah menjawab soalan sahabat kita tentang "khitbah / bertunang" di  dalam Islam. Serta menjawap persoalan berkenaan hukum nikah dengan tunang orang. Semua ini telah terjawap di dalam Islam dan perlu kita belajar dan ketahui walaupun tidak melaluinya. Sesungguhnya tiada ilmu yang tidak berguna melainkan kita membelakangkan hukum hakam di dalam Islam.
sekadar gambar hiasan
Bertunang/khitbah.
"Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj(Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu). Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan Agama Islam.

A. HIKMAHNYA
Apa hikmah, faedah atau kelebihannya???  Kerana khitbah memberi peluang kepada kita semua untuk at-ta'arruf / berkenalan dengan pasangan masing-masing dari segi zahir dan batin sebelum kita bernikah atau berkahwin.

"Tafsiran" lafaz atau perkataan "bertunang" ini berbeza mengikut tempat, kawasan, adat dan suasana masyarakat masing-masing. Berbeza di antara negara Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Dan kemungkinan berbeza juga di antara beberapa tempat, adat, suasana serta kawasan-kawasan di dalam negara masing-masing. Contohnya di dalam Indonesia, tafsiran "bertunang" di Medan dan Jakarta berbeza. Di dalam Thailand, tafsiran "bertunang" di Bangkok dan Pattani berbeza. Begitulah seterusnya di tempat-tempat lain.

Proses khitbah dan memahami maksudnya
"Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. "Melamar" ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan 'masa' berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat.

"Khitbah" juga bermakna proses lelaki meminta dari pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara atau jalan-jalan yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.(Fiqh Assunnah oleh Syed sabiq).

"Khitbah" juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita.(Fatawa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi). Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah / bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib(tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar  ( to reserve or booking) makhtubah (tunang wanita) semoga pihak lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu.

B. HUKUM KHITBAH / BERTUNANG DI DALAM ISLAM

Saya bertanya kawan saya tentang hukum "khitbah/bertunang" ini kepada kawan-kawan saya yang faham dan alim. Dan saya juga rujuk buku agama yang ada menceritakan tentang khitbah/ bertunang ini.

Hukum khitbah ini adalah "harus" tetapi Imam As-Syafie(sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan(sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukum "al-istihbab / sunat" ini lebih aula(utama / baik) dari hukum "harus" tadi.


C. DALIL ATAU BUKTI DISYARIATKAN (DIPERUNDANGKAN) KHITBAH / TUNANG

Dalil atau bukti di"bolehkan" khitbah / tunang ini terlalu banyak. Contohnya ialah...

1) Hadis Rasulallah saw yang mafhumnya: " tidak halal  bagi kamu penjualan di atas penjualan  orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Mengikut hadis ini kita faham bahwa kita tidak dibenarkan oleh syarak untuk meminang seseorang wanita / laki pabila wanita / laki itu sudah dipinang orang. Ini dalil dibolehkan 'khitbah' tetapi, dalil ini tidak 'soreh' / tidak terus (indirect). Ulamak dan orang-orang yang 'faqeh'/ faham hukum-hakam mengambil hukum "boleh" khitbah dalam Islam dari sini. Bagaimana?? Begini, cuba rujuk hadis ini semula. Khitbah dibolehkan dalam Islam, tetapi yang tidak bolehnya ialah meminang seseorang wanita / laki di atas pinangan orang lain. Maka, khitbah boleh. Moga anda semua faham.

2) Hadis. Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ". Berkata Jabir (perawi) hadis ini: " aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari 'diri / tubuh badan' wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

2 dalil di atas dipetik dan diambil dari buku Fiqh Assunnah oleh Syed Sabiq.


D. TEMPOH ATAU MASA YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK UNTUK BERKHITBAH / BERTUNANG

1. Tempoh / masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulamak (ramai Ulamak) ialah tempoh yang tidak panjang atau lama.

2. Jumhur ulamak (ramai Ulamak) berselisih pendapat dalam mentafsirkan / menentukan makna "tempoh panjang / lama" itu. Berapa hari, berapa minggu, berapa bulan, berapa tahun.

3. Maka tempoh ini semua ditentukan oleh 'uruf / adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.

4. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu HARI, maka satu harilah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

5. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu MINGGU, maka satu minggulah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

6. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu BULAN, maka satu bulanlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

7. Jika di sesuatu tempat mentafsirkan tempoh lama satu TAHUN, maka satu tahunlah yang mesti dipegang oleh sesiapa yang menjalankan khitbah ini.

Ini semua adalah contoh yang saya berikan kepada anda semua. Maka lepas ini boleh anda rujuk sendiri 'tempoh' atau 'masa' ini kepada mereka yang tinggal di kawasan anda. Tanyakan, biasanya di tempat anda ini berapa "tempoh paling lama" khitbah / bertunang ???

Jika 2 hari, 3 minggu, 4 bulan atau 5 tahun (contoh), maka semua ini terpulang kepada 'uruf / adat di sesuatu tempat, adat, kawasan dan suasana. Semoga anda faham.
*** 'uruf = adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.

E. HUKUM BERKHALWAT DENGAN TUNANG... (KHATIB-TUNANG LELAKI, MAKHTUBAH-TUNANG WANITA)

HARAM BERKHALWAT / DUDUK DITEMPAT SUNYI(menimbulkan fitnah) BERSAMA DENGAN TUNANG???
Agama Islam mengharamkan "khalwat" ini kerana ianya diharamkan ke atas tunangan ini sehinggalah mereka diakad(ijab dan qabul) dan dinikahkan. Maka lepas akad (ijab dan qabul), maka haruslah bagi pasangan laki dan wanita ini untuk berdua-duaan tanpa menimbulkan fitnah lagi.

Dan hikmah, faedah dan kelebihan "haram khalwat" ini ialah untuk mencegah terjadinya maksiat. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud: " Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk buku Fiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).

Dr.Yusof Al Qardawi (Fatawa Muasoroh) berkata:
" selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah / kahwin mereka mengikut 'uruf -adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal. Iaitu:-

1. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

2. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong  dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.]

*** mahram = mahram-orang yang diharamkan nikah /kahwin dengannya (dengan wanita itu)
***  'uruf =  adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.
F. BEBERAPA ISTILAH-ISTILAH DAN PERKATAAN YANG BAIK UNTUK DIKETAHUI DAN DIINGATI

01. Akad ------------------->> Ijab dan qabul

02. Al-istihbab ----------->> Sunat

03. At-ta'arruf ----------->> Berkenalan

04. Aula --------------------->> Utama atau Baik

05. Az-zawaj -------------->> Nikah atau Kahwin

06. Berkhalwat----------->> Berdua-duaan di tempat sunyi tanpa mahram hingga menimbulkan fitnah.

07. Disyariatkan -------->> Diperundang-undangkan

08. Faqeh ------------------->> Faham hukum-hakam

09. Jumhur ulamak --->> Ramai Ulamak

10. Khatib ----------------->> Tunang lelaki

11. Khitbah --------------->> Bertunang

12. Mahram--------------->> Orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya.

13. Muqaddimah ------->> Permulaan

14. Makhtubah ---------->> Tunang wanita

15. Tidak soreh ---------->> Tidak terus (indirect)

16. 'Uruf-------------------->> Adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.

mahukah kita ke tahap ini?
Hukum Nikah Dengan Tunang Orang

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Islam melarang seorang lelaki bertunang dengan seorang wanita yang sudah menjadi tunang orang lain. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

لَا يَخْطُبُ أَحَدُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Maksudnya: "Jangan salah seorang kamu bertunang ke atas tunangan saudaranya". Direkod oleh Malik dalam Muwatta, Syafie dalam Musnadnya, Ahmad dalam Musnadnya, Bukhari dalam Sahihnya (no: 2033) dll.

Yang dimaksudkan dalam hadis ini apabila seorang lelaki telah meminang seorang wanita, dan wanita tersebut telah menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengannya, maka haramlah orang lain bertunang dengan wanita tersebut. Adapun jika pihak wanita belum menyatakan penerimaannya, maka tidak mengapa orang lain cuba masuk meminang. (Al-Istizkar 5/382)

Jika pertunangan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, tiba-tiba ada orang lain berkahwin dengan wanita tersebut, maka dia telah melakukan perkara dosa.

Dari sudut kesahihan perkahwinan, ada khilaf ulama:
  • Ada ulama menyatakan pernikahan tersebut mesti difasakhkan (dibatalkan).
  • Ada ulama menyebut tidak perlu difasaskhkan seperti pendapat Abu Hanifah dan Syafie.
  • Ada ulama membuat perincian, jika mereka telah bersekedudukan maka boleh diteruskan perkahwinan. Tetapi jika belum bersekedudukan maka hendaklah difasakhkan pernikahan.
 Kesimpulan, hukum bertunang dan berkahwin dengan tunang orang adalah haram. Kecuali jika belum dipersetujui atau dibatalkan pertunangan yang pertama.

*** Jika terdapat kesilapan dan kesalahan dalam penggunaan perkataan / kalimah digunakan, diharap agar anda dapat memberitahu agar saya perbetulkan kesilapannya.

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment